TIPS MEMBACA BUKU DENGAN BERKESAN

Oleh Aljazari

Pada April 23, 2020
"

Baca Lagi

TIPS MEMBACA BUKU DENGAN BERKESAN

Berikut merupakan beberapa tips untuk mendapatkan yang terbaik daripada setiap buku yang kita baca. Ada merupakan pengalaman sendiri dan ada yang dikongsi sahabat-sahabat budiman.

1. Kenalpasti jenis bahan bacaan samada yang bersifat kronologi atau bersifat rujukan. Ada buku yang perlu dibaca dari kulit ke kulit mengikut urutan, biasanya buku berkenaan idea. Setiap bab biasanya untuk memperkenalkan idea penulis dan seterusnya membina kefahaman kepada pembaca. Ada buku yang bersifat rujukan, tidak perlu dibaca kulit-kulit, cukup dibelek pada muka yang berkaitan.

2. Apabila hendak mula membaca judul yang baru, ‘bedah’ dahulu secara cepat struktur buku tersebut. Pergi ke bahagian mukasurat dan kenalpasti bagaimana penulis menyusun bab demi bab dan bagaimana ideanya berkembang. Melalui bahagian mukasurat juga biasanya kita sudah dapat mengenalpasti secara makro kandungan buku itu.

3. Jangan langkau muka kata pengantar penulis. Melalui bahagian inilah kita dapat mengenali latar belakang penulis, tujuannya menulis buku ini, memahami kerangka pemikirannya serta memahami situasi penulis ketika menulis buku ini. Dengan maklumat latar ini, barulah kita lebih mudah ‘make sense’ hujah penulis.

4. Jangan terus berhenti membaca andai kita dapati buku itu terlalu tinggi dicapai akal kita. Sebaliknya, teruskan membaca walaupun sepintas lalu supaya kita dapat ingat secara kasar kandungan buku itu. Ada kemungkinan kita akan kembali membaca buku yang sama pada masa hadapan. Dengan pengalaman dan ilmu yang bertambah pada masa hadapan, mungkin buku itu lebih difahami pada masa itu.

5. Baca bacaan secara bertahap. Ada jenis buku yang memerlukan pra-syarat bacaan lain sebelum membacanya. Mana mungkin kita boleh mengira tambah dan tolak andai tidak mengenal nombor? Mulakan pembacaan topik pilihan dengan buku yang bersifat umum. Kemudian, jika telah faham, pergi ke muka bibliografi dan cari pula buku yang lebih tinggi tahapnya. Begitulah seterusnya. Jangan sesekali bimbang untuk kembali membaca bacaan asas lain andai ada tahap bacaan lebih tinggi yang kita masih kurang jelas.

6. Jangan berhenti membaca selepas hanya sekali khatam. Sebaliknya selepas beberapa selang masa (mungkin setahun dua), baca kembali buku yang sama. Pengalaman mematangkan dan menajamkan sudut pandangan.

7. Sentiasa meningkatkan tahap bacaan untuk satu-satu topik. Jangan selesa dengan bacaan umum sahaja. Jika telah selesa dengan kefahaman tahap itu, baca buku yang lebih ‘susah’ dan tahap yang lebih tinggi. Jika rasa akal tercabar itu normal. Otak dicipta untuk berfikir. Andai satu kefahaman baru didapati, maka lebih banyak neuron bersambung. Semakin banyak jaringan neuron terbina, semakin geliga otak.

8. Pelbagaikan genre pembacaan. Pelbagaikan juga antara fiksyen dan bukan fiksyen. Membaca fiksyen menjadikan kita idealis, membaca bukan fiksyen menjadikan kita pesimis, jika diseimbangkan akan menjadikan kita realis. Kita juga akan dapati topik-topik ilmu yang berbeza hakikatnya saling berkaitan dan saling bergantung.

9. Jangan membuta tuli jadikan maklumat daripada buku sebagai kebenaran hakiki. Yang benar hanyalah al-Quran dan Sunnah. Sentiasa cabar idea penulis adalah salah sehingga ada hujah memperkukuhkannya. Boleh jadi dua orang yang membaca buku yang sama mempunyai penafsiran berbeza. Sentiasa berbincang dengan orang yang lebih berilmu supaya kita dapat lihat sudut pandang berbeza dan kefahaman kita dapat diluruskan.

Bacalah. Bacalah Dengan Nama Tuhan yang Menciptakan.

Selamat Menyambut Hari Buku Sedunia

Cadangan bacaan lanjut: How to Read a Book, Mortimer J. Adler

Penulis merupakan seorang aktivis PAS graduan United Kingdom yang mengimpikan masyarakat Malaysia yang cintai ilmu dan membaca.

#HariBukuSedunia
#PemudaPAS
#CintaIlmu

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

SubscribeSiswaPAS

Isi nama dan email untuk dapatkan update dari kami!

You have Successfully Subscribed!

Share This