PENDIRIAN DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA BERKENAAN KERAJAAN BAHARU

Oleh Aljazari

Pada March 7, 2020
"

Baca Lagi

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

PENDIRIAN DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA BERKENAAN KERAJAAN BAHARU

Pada pagi ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkembangan serta pendirian Pemuda PAS Malaysia berkenaan politik semasa negara. Justeru, Pemuda PAS telah mengambil ketetapan serta pendirian berikut:

1. Pemuda PAS menyokong sepenuhnya kepimpinan YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 sepertimana yang diputuskan dan dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada minggu yang lalu. Ucapan tahniah juga diucapkan kepada YA Tan Sri Idris Harun atas perlantikan sebagai Peguam Negara menggantkan Tan Sri Tommy Thomas yang meletakkan jawatan pada minggu lalu.

2. Pemuda PAS menyokong sepenuhnya pendirian Presiden PAS, YB Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk memilih sendiri barisan jemaah Menteri Kabinet yang akan bekerja bersama beliau bagi membangunkan semula negara.

3. Pemuda PAS bersetuju dengan Perdana Menteri yang berjanji akan membariskan Jemaah Menteri Kabinet yang berintegriti, berkelayakan dan berkemahiran, sesuai dengan konsep Qawiyul Amin.

4. Pemuda PAS mencadangkan agar konsep kerajaan teknokrat diangkat dalam pembentukan barisan jemaah Menteri Kabinet, di mana lebih ramai tenaga pakar dan profesional diletakkan dalam barisan kabinet selain ahli politik. Oleh itu, Pemuda PAS turut mencadangkan supaya lebih ramai tenaga profesional dan muda diberikan peluang untuk melibatkan diri dalam barisan kabinet dan pentadbiran kerajaan baru.

5. Bagi memastikan wujudnya semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan yang baru, Pemuda PAS mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan badan Hisbah (Ombudsman), terdiri dari golongan yang berkelayakan dan mahir dari segi undang-undang pentadbiran, untuk memainkan peranan tersebut.

6. Pemuda PAS berharap agar kerajaan Malaysia yang baru dapat melibatkan lebih ramai golongan muda dalam membangunkan negara. Oleh itu, kami mencadangkan agar pihak kerajaan dapat melibatkan anak muda setiap lapisan dalam membincangkan polisi dan dasar kerajaan melalui townhall, perbincangan dan sebagainya.

7. Sebagai sayap pemuda parti komponen kerajaan hari ini, Pemuda PAS akan memberikan fokus kepada isu semasa dan masa hadapan anak muda, Antara perkara yang menjadi keutamaan kami adalah berkenaan kos sara hidup, peluang pekerjaan, kualiti pendidikan, serta taraf kehidupan khususnya keluarga muda untuk terus diangkat dan diberi perhatian oleh kerajaan yang baru.

8. Pemuda PAS juga akan terus menjadi agen penerangan bagi dasar-dasar kerajaan, bagi mematikan ia sampai kepada semua lapisan masyarakat, serta mengangkat suara rakyat dalam membawa isu-isu dan aspirasi anak muda Malaysia kepada pihak kerajaan.

9. Pemuda PAS dengan ini ingin mengajak semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik untuk kita bersatu dan bekerjasama bagi membangunkan Malaysia.

10. Marilah kita mengenepikan perbezaan kita, meninggalkan politik kebencian, serta mewujudkan keharmonian dan perdamaian, bagi mewujudkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.

Sekian, terima kasih

Demi Islam
Islam Memimpin Perpaduan

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
7 Mac 2020 | 12 Rejab 1441 H

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

SubscribeSiswaPAS

Isi nama dan email untuk dapatkan update dari kami!

You have Successfully Subscribed!

Share This