HUKUM & SAMBUTAN TAHUN BARU CINA 2020

Oleh Media SiswaPAS

Pada January 25, 2020
"

Baca Lagi

[HUKUM & SAMBUTAN TAHUN BARU CINA 2020]

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa yang majmuk, adat dan budaya yang berlainan seperti Malaysia, sudah tentu ia menjadikan kita lebih terbuka dan bertolak ansur (tasamuh dan toleransi) tanpa menggadaikan prinsip-prinsip utama Islam.

Berikut merupakan beberapa garis panduan yang kami cadangkan kepada semua umat Islam yang ingin terlibat dalam sambutan perayaan bangsa lain untuk sama-sama diteliti dan diaplikasikan:

Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.
Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.
Kami dapati sambutan Tahun Baru Cina yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin masyarakat Cina dan juga disertai oleh pemimpin negara atau negeri yang beragama Islam, masih di ruang lingkup yang dibenarkan oleh Islam. Ini kerana, ia bertujuan untuk menjaga dan memelihara hubungan masyarakat dan lebih kepada hidup dalam kontrak sosial yang diraikan tanpa menggadaikan prinsip agama.

Akhir kalam, semoga Allah SWT sentiasa memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua dan juga supaya diberikan kefahaman yang baik dalam beragama seterusnya dapat diaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Meraikan suasana masyarakat majmuk di Malaysia menjadikan kita satu komuniti yang cintakan akan keamanan, penuh dengan rasa hormat-menghormati, tulus dan ikhlas dalam membina persahabatan serta teguh mempertahankan keamanan negara. Sesungguhnya, nikmat keamanan dan keharmonian yang Allah SWT telah berikan kepada kita semestinya sama-sama kita kekalkan dan memeliharanya demi keharmonian bersama.

Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

#MahasiswaIntelektual
#SiswaPAS
#DemiIslam
#IslamMemimpinPerpaduan

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

SubscribeSiswaPAS

Isi nama dan email untuk dapatkan update dari kami!

You have Successfully Subscribed!

Share This