CADANGAN BAYAR BIL SECARA ANSURAN, TEMPOH BAYARAN TANPA SEBARANG FAEDAH

Oleh Aljazari

Pada June 19, 2020
"

Baca Lagi

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

CADANGAN BAYAR BIL SECARA ANSURAN, TEMPOH BAYARAN TANPA SEBARANG FAEDAH

19 Jun 2020 | 27 Syawal 1441 H

1. Semasa Malaysia dilanda wabak Covid-19, negara telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak. Hanya sektor ‘essential service’ sahaja yang dibenarkan beroperasi.

2. PKP ini menyebabkan berlakunya dua situasi luar jangka. Situasi pertama, ramai penghuni menghabiskan masa di rumah. Kebiasaan baharu ini telah menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik terutamanya yang melibatkan penggunaan penghawa dingin, peti sejuk, komputer, internet rumah dan telefon bimbit. Oleh itu, penggunaan elektrik bagi penguna domestik juga turut terkesan dan meningkat.

3. Situasi kedua di mana terdapat premis perniagaan yang terbiar dan tidak digunakan kerana dilarang untuk beroperasi. Ada juga kediaman yang ditinggalkan sementara kerana penghuninya terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain. Oleh itu, penggunaan elektrik sebenar sepatutnya lebih rendah daripada penggunaan biasa.

4. Bagi golongan yang banyak meluangkan masa di rumah, ramai yang menzahirkan rasa terkejut apabila menerima bil elektrik sebenar baru-baru ini. Mereka memuatnaik bil elektrik dan meluahkan rasa marah dan tidak berpuas hati di atas kenaikan tersebut. Kenaikan yang mereka alami dirasakan tidak munasabah dengan peningkatan penggunaan mereka.

5. Golongan yang memiliki premis yang tidak dibenarkan untuk beroperasi atau mereka yang terkandas di tempat lain juga kehairanan kerana bil elektrik semasa musim PKP mereka adalah sama dengan bulan-bulan yang biasa sebelum ini.

6. Daripada kedua-dua situasi ini, kami berpandangan jangkaan (expectation) pengguna terhadap penggunaan mereka tidak dapat diurus dengan baik oleh TNB. Kami maklum kekangan yang dihadapi oleh TNB kerana mematuhi undang-undang PKP dan pemasangan ‘smart meter’ yang belum meluas ke serata semenanjung.

7. Diskaun yang diberikan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 juga nampaknya tidak berupaya memberikan ruang untuk pengguna bernafas semula dalam berhadapan dengan pasca Covid-19. Pengguna juga sedang menghadapi situasi ekonomi yang mencabar dalam fasa PKP Pemulihan ini termasuk peningkatan kadar pengangguran dan peluang pekerjaan yang terjejas.

8. Sehubungan itu, pihak kami mencadangkan agar pembayaran bil elektrik secara ansuran dilanjutkan lagi tempoh bayarannya tanpa sebarang faedah dan penalti/surcaj lewat bayar yang dikenakan (kadar semasa: 1% untuk setiap 30 hari yang lewat) untuk tempoh yang munasabah bagi TNB dan pengguna.

9. Kami sedar bahawa cadangan ini akan menjejaskan aliran tunai TNB. Namun, dengan kemudahan yang diberikan ini, pengguna akan lebih mampu untuk menjelaskan bayaran penggunaan elektrik mereka dalam tempoh yang lebih panjang.

10. Kami sentiasa menyokong TNB yang memainkan peranan penting sebagai penggerak kemajuan negara dan mengajak TNB untuk bersama berkongsi kesusahan rakyat dalam situasi luar biasa ini.

Ir. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

#PemudaPAS
#DemiIslam

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

SubscribeSiswaPAS

Isi nama dan email untuk dapatkan update dari kami!

You have Successfully Subscribed!

Share This